Pembelian rumah merupakan satu keputusan besar dan melibatkan aspek kewangan yang penting. Sebelum melibatkan diri dalam proses pembelian hartanah, adalah penting untuk memahami dan menyedari bahawa terdapat sejumlah wang yang perlu anda peruntukkan. Pembeli perlu merancang dan menyediakan jumlah yang mencukupi supaya proses pembelian dapat berjalan dengan lebih yakin dan tanpa kejutan yang tidak dijangka. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil kira dan anggaran jumlah wang yang mungkin diperlukan:
1. Bayaran Booking dan Deposit
Sebagai langkah pertama dalam pembelian rumah, pembeli biasanya perlu membayar bayaran awalan pembelian rumah (booking) kepada pemaju atau penjual. Bayaran ini adalah bertujuan sebagai tanda bahawa anda sudah ‘berniat’ untuk membeli rumah tersebut. Selain itu, pembeli juga perlu membayar deposit, yang merupakan sebahagian daripada jumlah pembelian rumah. Jumlah ini bergantung kepada harga hartanah dan terma jualan yang dipersetujui. Deposit rumah kebiasaannya sekitar antara 2% hingga 10% daripada harga belian rumah tersebut. Namun demikian, peratusan deposit tersebut boleh berbeza daripada kadar kebiasaannya dengan syarat kadar tersebut dipersetujui oleh kedua-dua pihak penjual dan pembeli.
2. Agensi Hartanah dan Peguam
Anda boleh mendapatkan perkhidmatan agensi hartanah untuk membantu anda dalam mencari rumah yang diidamkan dan mereka adalah orang pertama yang anda akan jumpa untuk melihat keadaan rumah sebelum anda membuat keputusan untuk membeli. Anda juga boleh membuat pilihan untuk mendapatkan khidmat peguam yang bakal mengendalikan urusan pembelian rumah anda. Pihak peguam akan menyediakan dokumen-dokumen perjanjian jual beli. Pelantikan peguam dalam urusan pembelian hartanah adalah sangat penting untuk memastikan bahawa segala urusan jual beli hartanah adalah teratur dan berlandaskan undang-undang. Selain itu, pelantikan peguam juga dapat memastikan bahawa hak dan kepentingan anda sebagai pembeli dapat dipelihara sepanjang urusan jual beli rumah berlangsung. Perlu diingatkan bahawa yuran guaman untuk peguam dan yuran agensi hartanah adalah berbeza bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan yang mana yuran agensi hartanah adalah tertakluk kepada 3.18% dan yuran guaman peguam adalah tertakluk kepada skala yuran yang telah diperintahkan di dalam Solicitor Remuneration Order (SRO) 2023.
3. Bayaran Duti Setem Pindahmilik Hakmilik (Stamp Duty)
Untuk urusan pembelian hartanah, perlu diingatkan bahawa ada pembayaran duti setem yang dikenakan ke atas surat cara jual beli hartanah iaitu ke atas surat cara borang pindahmilik. Jumlah duti setem ini berkadar dengan harga belian hartanah yang ingin dibeli dan sangat penting untuk menyediakan wang secukupnya untuk membuat pembayaran cukai pindahmilik hakmilik ini. Namun, sekiranya pembelian hartanah tersebut ialah rumah pertama anda dan harga belian kurang daripada RM 500,000.00, maka anda tidak perlu bimbang kerana anda boleh mendapatkan pengecualian daripada membayar duti setem tersebut melalui warta kerajaan Perintah Duti Setem (Pengecualian) 2021 [P.U.(A) 53/2021].
4. Kos Pemeriksaan Hartanah (Home Inspection)
Salah satu perkara yang jarang diambil kira adalah berkenaan pemeriksaan hartanah. Jika pembeli ingin menjalankan pemeriksaan hartanah sebelum pembelian, kos untuk perkhidmatan pemeriksaan hartanah mungkin perlu disediakan. Pemeriksaan ini adalah sangat penting untuk memastikan bahawa rumah yang ingin dibeli berada dalam keadaan baik dan bebas daripada kerosakan yang tersembunyi. Pembeli boleh mendapatkan pemeriksa hartanah yang berlesen dan berdaftar supaya mereka mampu memberikan perkhidmatan yang baik dengan upah yang berpatutan untuk menjamin keselamatan dan keselesaan rumah yang ingin dibeli.
5. Kos Tambahan
Selain daripada perkara dan elemen yang disenaraikan di atas, pembeli juga perlu menyediakan sejumlah wang untuk kos-kos tambahan yang mungkin timbul sepanjang proses pembelian. Ini termasuk kos pembelian perabot, pindah masuk, dan apa-apa perbelanjaan tambahan yang berkaitan dengan pemindahan ke rumah yang ingin dibeli dan juga kos untuk utiliti seperti deposit kepada TNB, SYABAS dan lain-lain.
Kesimpulannya, jumlah wang yang perlu disediakan untuk pembelian rumah adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti harga hartanah, jenis pembiayaan, serta terma dan syarat pembelian. Justeru, pembeli perlu diingatkan bahawa adalah penting untuk membuat kajian terperinci, mendapatkan nasihat pakar hartanah dan peguam hartanah profesional, serta merancang kewangan dengan teliti sebelum melibatkan diri dalam proses pembelian hartanah. Dengan persediaan yang baik dan rapi, pembeli dapat menikmati proses pembelian dengan lebih lancar dan yakin.