Tindakan sivil adalah satu mekanisme pertelingkahan undang-undang antara dua atau lebih pihak untuk mencari satu penyelesaian dengan cara menuntut remedi yang tidak melibatkan pendakwaan jenayah. Ia adalah satu prosedur yang berbeza dengan kes jenayah yang bertujuan untuk menghukum pelaku atas tindakannya, di mana tindakan sivil lebih bersifat untuk mendapatkan ganti rugi bagi pihak yang menuntut (plaintif). Objektif utama tindakan sivil adalah untuk menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat dan berusaha seboleh mungkin untuk mengembalikan hak penuntut kepada situasi sebelum berlakuanya sesuatu permasalahan.

Tuntutan sivil di Mahkamah melibatkan dua entiti utama iaitu, plaintif dan defendan. Plaintif merupakan pihak yang mendakwa bahawa mereka mengalami kerugian atau kecederaan akibat daripada perbuatan defendan yang menyebabkan plaintif menuntut remedi daripada Mahkamah. Apablia plaintif melalui peguamcaranya memulakan tindakan sivil, defendan dikehendaki untuk menjawab tuntutan tersebut. Jika plaintif berjaya membuktikan tuntutannya, di mana penghakiman berpihak kepada plaintif, maka pelbagai perintah boleh dikeluarkan oleh Mahkamah untuk menguatkuasakan hak plaintif. Antaranya termasuklah perintah untuk membayar ganti rugi, dan injunksi.

Contoh-contoh tindakan sivil yang boleh dituntut di Mahkamah adalah: tuntutan hutang; tuntutan sivil yang melibatkan kemalangan kenderaan bermotor; saman tort; isu pelanggaran kontrak; tuntutan kecederaan diri; pertikaian antara tuan rumah dan penyewa; pinjaman perumahan; kecederaan akibat kecuaian perubatan; serta perkara-perkara berkaitan undang-undang keluarga seperti penceraian dan hak penjagaan anak.

Kelazimannya, sebelum plaintif memulakan tindakan sivil terhadap defendan, plaintif akan menghantar satu surat yang dipanggil Surat Tuntutan (Letter of Demand) daripada peguam yang dilantik olehnya. Surat Tuntutan berperanan sebagai amaran terakhir sebelum tindakan undang-undang atau saman diteruskan ke Mahkamah. Sekiranya tiada respon positif daripada individu yang ingin disaman sehingga tempoh masa yang diberikan tamat, pihak yang ingin menyaman mempunyai pilihan untuk meneruskan dengan tindakan saman di Mahkamah.

Aturan 5, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 telah menyediakan panduan-panduan untuk memulakan prosiding di Mahkamah sivil. Secara amnya, tatacara permulaan tindakan sivil adalah seperti berikut: peguam yang dilantik oleh plaintif akan menyediakan dokumen-dokumen yang dikenali sebagai Writ dan Pernyataan Tuntutan; ataupun Saman Pemula dan Afidavit Sokongan, bergantung kepada kesesuaian kes-kes yang ingin dimulakan oleh pihak plaintif. Dokumen-dokumen tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada defendan/ responden di mana defendan/ responden perlu melantik peguamcara untuk menjawab atau mencabar tuntutan yang dibuat melalui Writ atau Saman Pemula tersebut.

Writ merupakan satu intrumen atau suatu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah untuk meminta defendan melaksanakan tindakan tertentu yang ditetapkan oleh Mahkamah.

Berikut merupakan kronologi perjalanan kes yang dimulakan oleh Writ atau Saman Pemula:

1. Kronologi perjalanan bagi prosiding yang dimulakan oleh Writ:

(1) Writ dan Pernyataan Tuntutan;

(2) Pliding-Pliding;

(3) Penutupan Pliding-Pliding (Close of Pleadings);

(4) Pengurusan Kes (Case Management);

(5) Trial; dan

(6) Penghakiman.

1. Kronologi perjalanan bagi prosiding yang dimulakan oleh Saman Pemula:

(1) Saman Pemula dan Afidavit Sokongan;

(2) Pendengaran; dan

(3) Perintah.

One Comment

  1. Ahmad May 7, 2024 at 6:16 am - Reply

    Good article

Leave A Comment