Memiliki kediaman yang baik, selesa dan sempurna sudah pasti menjadi keutamaan serta matlamat bagi semua orang. Mana tidaknya, rumah yang anda bakal pilih inilah yang akan menjadi tempat anda berehat, berkumpul bersama ahli keluarga yang tercinta, dan juga menjadi tempat anda berlindung dari panas terik dan hujan lebat. Justeru, sebagai bakal pembeli rumah pertama, anda perlu ketahui perkara-perkara ini sebelum anda meneruskan hasrat untuk membeli rumah pertama:
1. Matlamat utama pembelian rumah pertama
Perkara pertama yang anda perlu tanya diri anda sendiri ialah, “Mengapakah saya mahu membeli rumah ini?” Adakah rumah yang anda mahu beli ini bertujuan untuk menjadikan rumah ini sebagai rumah kediaman untuk seisi keluarga? Atau rumah tersebut akan dibeli atas tujuan pelaburan? Anda tidak perlu tergesa-gesa dalam membuat keputusan kerana pembelian rumah pertama ini adalah satu keputusan besar yang anda perlu fikirkan dengan penuh teliti dan tidak terburu-buru. Ambil masa seberapa mana yang mungkin untuk anda fikirkan matlamat utama pembeli rumah pertama tersebut. Sebaik sahaja anda berjaya mendapatkan jawapan bagi semua persoalan tersebut, fikirkan pula apakah jenis rumah pertama yang anda mahu beli, termasuklah beberapa faktor lain yang anda perlu juga pertimbangkan seperti fasiliti asas, jarak ke tempat kerja, lokasi sekolah dan jarak ke hospital atau klinik yang berdekatan.
2. Sediakan sejumlah wang tunai sebagai persediaan awal
Pembelian rumah pertama merupakan satu keputusan besar dan melibatkan aspek kewangan yang penting. Sebelum melibatkan diri dalam proses pembelian rumah pertama, adalah penting untuk memahami dan menyedari bahawa terdapat sejumlah wang yang perlu anda peruntukkan. Pembeli rumah pertama perlu merancang dan menyediakan jumlah yang mencukupi supaya proses pembelian rumah pertama dapat berjalan dengan lebih yakin dan tanpa kejutan yang tidak dijangka. Sebagai pembeli rumah pertama, anda perlu memastikan bahawa anda dapat menyediakan sejumlah wang untuk membuat pembayaran deposit rumah (kebiasaannya 10% daripada harga jualan rumah), pembayaran yuran guaman, yuran agensi hartanah, kos pemeriksaan hartanah, dan bayaran tambahan yang lain seperti pembelian perabot baharu, kos pemindahan ke rumah baharu dan deposit bagi bil-bil utiliti seperti bil Tenaga Nasional Berhad dan syarikat air.
3. Pengecualian daripada pembayaran duti setem untuk surat cara pindah milik
Secara umumnya, untuk mana-mana pembeli rumah, anda seharusnya menyediakan sejumlah wang yang mencecah ribuan ringgit bagi tujuan pembayaran duti setem untuk surat cara pindah milik kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. Akan tetapi, tahukah anda bahawa kerajaan melalui Belanjawan 2023 telah mengumumkan bahawa pengecualian duti setem untuk surat cara pindah milik bagi pemilikan rumah pertama akan diteruskan. Pengecualian duti setem tersebut boleh dihuraikan seperti berikut:
a) Pengecualian duti setem sebanyak 100% akan diberikan bagi pembelian rumah pertama yang tidak melebihi RM 500,000.00; dan
b) Pengecualian duti setem sebanyak 75% akan diberikan bagi pembelian rumah pertama dengan pihak pemaju (sub-con) berjumlah melebihi RM 500,000.00 sehingga RM 1,000,000.00.
Akan tetapi, anda perlu ingat bahawa pengecualian duti setem tersebut hanya akan berkuatkasa sehingga beberapa tempoh tertentu, tertakluk kepada polisi baharu kerajaan. Maka, anda perlu sentiasa memastikan bahawa anda kekal ‘up-to-date’ terhadap polisi terkini berkenaan pengecualian duti setem ini supaya anda dapat bersedia terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada masa depan.
4. Peluang untuk Mendapatkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP)
Sekiranya anda ialah pembeli rumah pertama tetapi tidak mempunyai slip gaji atau tidak berpendapatan tetap, ada berita baik untuk anda! Kerajaan Malaysia melalui Belanjawan 2023 telah memperkenalkan satu inisiatif di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad yang dinamakan Skim Jaminan Kredit Perumahan – MADANI (SJKP-MADANI). Skim ini diwujudkan bertujuan untuk memberikan bantuan kepada mana-mana pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau slip gaji untuk mendapatkan kemudahan gadai janji. Di bawah skim ini, pembeli rumah pertama berpeluang untuk mendapatkan pembiayaan sehingga RM 360,000.00 selama lebih kurang 35 tahun di mana jaminan pembiayaan tersebut sehingga maksimum 120% daripada harga rumah. Oleh yang demikian, anda tidak perlu bimbang kerana anda berpeluang untuk mendapat pembiayaan penuh bagi menampung pembelian rumah pertama yang anda impi-impikan buat sekian lama ini.
5. Penyediaan dokumen-dokumen penting bagi tujuan pembelian rumah pertama
Sebelum anda memutuskan untuk membeli rumah pertama, anda perlu pastikan bahawa anda dapat melengkapkan beberapa dokumen berikut supaya pembelian rumah pertama anda dapat dilakukan dengan lancar, antaranya:
a) Salinan kad pengenalan yang jelas dan berwarna;
b) Resit bayaran tempahan rumah (‘booking fee’) yang dibayar kepada pihak agensi hartanah;
c) Penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terkini;
d) Penyata akaun bank anda tiga (3) hingga enam (6) terkini;
e) Borang EA terkini;
f) Borang BE Cukai Pendapatan terkini; dan
g) Slip gaji tiga (3) hingga enam (6) bulan terkini.
Penyediaan dokumen-dokumen yang disenaraikan di atas adalah penting untuk memastikan bahawa permohonan pembiayaan anda dapat diproses dan diluluskan. Dokumen-dokumen tersebut juga dapat dijadikan sebagai bukti bahawa anda sememangnya memiliki kelayakan kredit bagi tujuan permohonan pembiayaan perumahan. Sebelum anda menghantar dokumen-dokumen tersebut ke pihak yang berkaitan, anda perlu pastikan bahawa kesemua maklumat yang terkandung dalam dokumen tersebut adalah betul untuk memastikan bahawa proses permohonan pembiayaan dapat dijalankan dengan lancar.
6. Membuat carian dan pembacaan di laman web berkenaan pembelian rumah pertama
Sebagai pembeli rumah pertama, sudah pasti anda tidak memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam berkenaan proses pembelian hartanah. Dalam dunia teknologi tanpa sempadan ini, agak rugi sekiranya anda tidak memanfaatkan kelebihan ini untuk mendalami sedikit sebanyak pengetahuan am berkenaan pembelian hartanah. Ilmu berkenaan pembelian rumah, terutamanya tentang rumah pertama dapat diperoleh melalui pelbagai platform di Internet seperti di enjin carian Google, video-video di laman Youtube dan laman sosial Facebook. Terdapat ramai tokoh terkemuka serta peguam yang handal dan arif berkenaan dengan ilmu hartanah telah berkongsi pengalaman luas mereka dalam mengendalikan urusan jual beli rumah di mana pengalaman tersebut telah diterjemahkan dalam bentuk artikel di blog dan video-video di laman Youtube. Oleh yang demikian, jangan lepaskan peluang untuk mempersiapkan diri anda dengan ilmu pengetahuan tentang selok belok pembelian rumah supaya pada akhirnya, anda dapat memahami dengan baik proses pembelian tersebut dan pada masa yang sama, anda dapat mengelakkan sebarang penipuan mahupun kekeliruan yang mungkin boleh timbul sepanjang proses tersebut berjalan.
Tuntasnya, sebagai pembeli rumah pertama, memiliki rumah yang baik dan nyaman adalah keutamaan bagi semua orang. Sebagai pembeli rumah pertama, penting untuk mengetahui matlamat utama pembelian, menyediakan wang tunai yang mencukupi, dan memahami pengecualian duti setem serta peluang untuk memanfaatkan apa-apa inisiatif yang telah diilhamkan oleh pihak kerajaan. Persiapan dokumen yang tepat dan pembacaan di laman web berkaitan juga perlu dilakukan untuk memastikan proses pembelian berjalan lancar. Dengan memahami proses pembelian rumah pertama secara menyeluruh, anda dapat membuat keputusan yang bijak dan mengelakkan sebarang masalah atau penipuan yang mungkin timbul dalam proses pembelian rumah pertama anda.
Hey there I am so happy I found your web site, I
really found you by accident, while I was looking on Yahoo for something else, Nonetheless I am here now and would just like to say kudos for a tremendous post andd a
all round enjoyable blog (I also love the theme/design), I don’t
have time to read it all at the moment but I have saved it and also included
your RSS feeds, soo when I have time I will be back to read much more, Please do keewp up the excellent job. https://www.waste-ndc.pro/community/profile/tressa79906983/