Pentadbiran harta pusaka adalah proses penting bagi memastikan harta yang ditinggal oleh si mati diuruskan dan diagihkan kepada waris-waris yang layak dan berhak. Pentadbiran harta pusaka adalah penting untuk memastikan bahawa hak waris dilindungi dan aset si mati diselesaikan dengan cara yang teratur dan sah.
Perkara ini juga sangat sinonim bagi mereka yang beragama Islam yang mana wasiat bagi orang Islam hanyalah layak sebanyak ⅓ bahagian daripada keseluruhan harta si mati untuk diserahkan kepada yang bukan waris. Sekiranya si mati meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat, waris tidak perlu risau, masih ada jalan penyelesaiannya. Pembahagian harta pusaka ini dilakukan mengikut hukum faraid atau undang-undang sivil.
Mari kita sama-sama semak langkah-langkah pengurusan pentadbiran harta pusaka tanpa wasiat secara ringkas;-
1. Pengenalpastian Harta Dan hutang
Perkara pertama yang dilakukan oleh waris si mati adalah dengan membuat pengenalpastian harta dan hutang yang ditinggalkan oleh si mati. Semakan tersebut boleh dibuat melalui dokumen-dokumen yang disimpan oleh si mati. Pengenalpastian harta adalah termasuk hartanah, akaun bank, pelaburan, kenderaan, dan sebarang harta lain yang dimiliki oleh si mati. Manakala untuk hutang adalah termasuk pinjaman, bil, dan liabiliti lain.
2. Pelantikan Pentadbir
Setelah membuat pengenalpastian harta dan hutang si mati, waris-waris perlu berkumpul bagi membuat perbincangan pelantikan pentadbir. Pentadbir ini boleh terdiri daripada ahli keluarga terdekat atau pihak ketiga yang dipersetujui oleh semua waris. Namun, Pentadbir digalakkan dipilih daripada kalangan waris yang layak menerima harta. Pentadbir tersebut juga harus mengetahui tanggungjawab dalam menguruskan dan mengagihkan harta pusaka.
3. Permohonan Surat Kuasa Mentadbir
Untuk urusan permohonan surat kuasa mentadbir, Pentadbir boleh membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi atau Unit Pusaka Kecil. Bagi permohonan melalui Unit Pusaka Kecil, nilaian harta pusaka adalah tidak melebihi RM2 juta dan mestilah mempunyai hartanah seperti rumah atau tanah. Manakala bagi permohonan melalui Mahkamah Tinggi, tiada penetapan penilaian hartanah atau harta alih dan boleh melebihi RM2 juta. Permohonan melalui Mahkamah Tinggi boleh dibuat melalui pihak peguam dan setelah pentadbir menerima surat kuasa mentadbir maka pentadbir diberi kuasa untuk mentadbir dan menguruskan harta pusaka si mati.
4. Penyelesaian Hutang dan Liabiliti
Sebelum harta pusaka boleh diagihkan kepada waris, semua hutang dan liabiliti si mati perlu diselesaikan. Ini termasuk pembayaran kepada pemiutang, penyelesaian bil utiliti, dan pembayaran cukai.
5. Pembahagian Harta Pusaka
Selepas semua hutang diselesaikan, baki harta pusaka akan diagihkan kepada waris mengikut persetujuan pembahagian sebagai contoh persetujuan bersama (pembahagian secara sama rata), pembahagian secara muafakat atau pembahagian secara faraid. Proses ini perlu dijalankan dengan telus dan adil untuk mengelakkan pertikaian antara waris.
Secara kesimpulannya, pentadbiran harta pusaka tanpa wasiat adalah proses yang penting dan memerlukan perhatian teliti untuk memastikan harta pusaka si mati diuruskan dan diagihkan dengan adil. Dengan memahami langkah-langkah yang terlibat, kerjasama antara waris, dan menyediakan dokumentasi yang lengkap, proses ini boleh dijalankan dengan lebih lancar. Pentadbiran yang baik akan memastikan harta pusaka dapat dinikmati oleh waris yang layak dan berhak, mengurangkan risiko pertikaian, dan memelihara keharmonian keluarga.
Very interesting details you have noted, regards
for posting.Blog range