Sebagai seorang peguam hartanah, saya sering menerima klien yang merasa risau dan keliru mengenai proses tukar nama waris dalam geran tanah selepas pemilik meninggal dunia. Kebimbangan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, lebih-lebih lagi apabila urusan harta pusaka melibatkan prosedur undang-undang yang agak kompleks.

Baru-baru ini, saya bertemu dengan seorang klien bernama Puan Aisyah, seorang ibu tunggal yang berdepan dengan masalah ini.
Izinkan saya kongsikan kisahnya, yang mungkin boleh menjadi panduan bagi anda yang berhadapan dengan situasi yang sama.

1. Permohonan Surat Kuasa Tadbir

Sebagai peguam, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menasihati Puan Aisyah untuk segera menfailkan permohonan surat kuasa mentadbir. Permohonan surat kuasa mentadbir adalah sangat penting bagi melantik pentadbir di dalam kalangan ahli waris dalam urusan pusaka. Di dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 ada menggariskan prosedur untuk mendapatkan perintah atau surat kuasa mentadbir tersebut. Permohonan surat kuasa mentadbir ini boleh dilakukan sama ada di Mahkamah Tinggi mahupun Unit Pusaka Kecil, Pejabat Tanah Daerah mengikut jumlah keseluruhan nilai harta pusaka tersebut. Jika nilai keseluruhan harta pusaka kurang daripada RM2 juta, permohonan boleh dibuat di Unit Pusaka Kecil, Pejabat Tanah Daerah. Namun, jika melebihi RM2 juta, permohonan hendaklah difailkan di Mahkamah Tinggi.

Sebagai peguam, saya membantu Puan Aisyah menyediakan dokumen yang diperlukan seperti sijil kematian suami, senarai harta pusaka, dan senarai waris yang sah. Dengan dokumen lengkap, proses permohonan Surat Kuasa Mentadbir boleh berjalan dengan lancar.

2. Permohonan Perintah Pembahagian / Pengagihan Harta Pusaka

Setelah menerima surat kuasa mentadbir, pentadbir Puan Aisyah boleh memohon untuk mendapatkan perintah pembahagian untuk pengagihan harta pusaka. Pembahagian atau pengagihan harta pusaka ini boleh dilakukan dengan mendapatkan persetujuan daripada setiap waris sama ada boleh dilakukan melalui secara muafakat, bahagi sama rata atau mengikut hukum faraid. Saya menasihati Puan Aisyah bahawa perbincangan antara waris amat penting untuk mengelakkan konflik di kemudian hari.

3. Permohonan Tukar Nama Dalam Geran di Pejabat Tanah

Setelah pembahagian disahkan, Puan Aisyah perlu mengambil langkah terakhir untuk tukar nama waris dalam geran tanah. Saya membantu beliau dengan menyediakan semua dokumen yang diperlukan, termasuk salinan Surat Kuasa Mentadbir, perintah pembahagian harta pusaka, dan geran asal tanah, untuk dikemukakan di Pejabat Tanah dan Galian termasuk dokumen utiliti. Alhamdulillah, setelah beberapa minggu, nama waris baru telah dimasukkan dalam geran tanah, dan Puan Aisyah berasa tenang kerana kini harta peninggalan suaminya telah dipindahkan dengan sah kepada anak-anak mereka.

Kisah Puan Aisyah ini adalah satu contoh bagaimana proses tukar nama waris dalam geran tanah boleh diselesaikan dengan cepat dan tanpa masalah jika kita memahami prosedur yang betul. Sebagai peguam hartanah, saya telah membantu beberapa keluarga seperti Puan Aisyah memastikan harta pusaka dapat diuruskan dengan baik, sekaligus melindungi hak waris.

Jika anda berhadapan dengan situasi yang sama, saya ingin menegaskan bahawa walaupun proses undang-undang ini mungkin kelihatan rumit, ia boleh diselesaikan dengan lebih mudah apabila kita tahu langkah-langkah yang perlu diambil. Jangan biarkan harta pusaka tergantung. Ambillah tindakan segera untuk tukar nama waris dalam geran tanah agar masa depan waris terjamin.

Leave A Comment