Hartanah merupakan aset berharga yang memerlukan perlindungan yang cermat untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan mengurangkan bebanan kepada peminjam. Pada era pembangunan ini, Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) dan Mortgage Level Term Takaful (MLTT) terkenal sebagai dua pilihan utama pelan perlindungan di pasaran hartanah Malaysia. Pada asasnya, kedua-dua pelan ini bertujuan melindungi hartanah namun terdapat perbezaan yang ketara dalam ciri-ciri, matlamat, dan kelebihan pelan perlindungan ini. Jom kita kenali kedua-dua pelan perlindungan ini.
Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) atau Pengurangan Gadai Janji:
Maksud pengurangan gadai janji atau “mortgage reducing” adalah apabila jumlah pembiayaan hartanah anda berkurangan maka perlindungan yang disediakan oleh MRTT juga akan berkurangan. Sekiranya pembiayaan hartanah tersebut diselesaikan awal, maka pihak takaful akan menawarkan bayaran balik tunai, berdasarkan terma dan syarat penamatan awal.
Matlamat asas polisi MRTT adalah menyediakan perlindungan hutang pinjaman hartanah, terutama terhadap risiko seperti kematian dan kecacatan kekal. Kaedah pembayaran MRTT pula adalah secara sekaligus melalui pembiayaan dan bukanlah dengan penolakan secara bulanan. Ini dapat membantu peminjam merancang kewangan mereka dengan lebih baik.
Penama polisi MRTT kebiasaannya adalah pihak bank sebagai penerima manfaat, yang mana fokus utama adalah pada perlindungan kepentingan kewangan bank. Apabila pembiayaan semula dilaku kan, perlu diingatkan bahawa polisi MRTT boleh dibatalkan.
Dalam situasi kematian, MRTT boleh digunakan untuk membayar baki jumlah pembiayaan hartanah terus kepada pihak bank atau institusi kewangan yang memberikan pembiayaan. Manakala, dalam situasi kecacatan kekal, MRTT menawarkan perlindungan keselamatan kewangan apabila individu yang dilindungi berdepan kecacatan kekal dan tidak dapat bekerja lagi.
Mortgage Level Term Takaful (MLTT) atau Pengekalan Gadai Janji:
MLTT adalah pelan perlindungan untuk memberikan jaminan kewangan kepada keluarga peminjam sekiranya terjadi kematian atau kecacatan kekal. MLTT menawarkan bayaran premium yang lebih tinggi dan perlindungan MLTT adalah berdasarkan keseluruhan hutang dan kekal sepanjang tempoh polisi, menawarkan jaminan konsisten sepanjang masa.
Pembayaran MLTT adalah dibuat secara ansuran bulan dan bukanlah seperti MRTT yang boleh dibayar menggunakan pembiayaan hartanah. Nilai yang dibayar untuk MLTT adalah kekal sama yang menjadikan kos keseluruhan premium juga lebih mahal walaupun untuk tempoh masa yang sama seperti MRTT.
Dalam situasi kematian atau kecacatan kekal, MLTT akan membayar baki pembiayaan hartanah terus kepada pihak bank atau institusi kewangan. Penama polisi MLTT boleh dilakukan oleh waris pemilik hartanah. Jadi, sekiranya terdapat baki daripada jumlah yang sudah dibayar untuk MLTT akan diberi terus kepada penerima manfaat atau penama polisi. Manakala dalam situasi, pembiayaan semula tidak akan menyebabkan pembatalan polisi MLTT, memastikan keseluruhan perlindungan kekal tanpa gangguan.
Dalam memilih antara MRTT dan MLTT, peminjam perlu menilai keperluan dan matlamat kewangan mereka. Kedua-duanya menawarkan kelebihan dan ciri-ciri yang menarik, dan keputusan bijak akan memastikan aset hartanah dilindungi dengan baik, dalam menjamin s kestabilan kewangan dan tidak membebankan peminjam.