Pernah tak anda dengar orang bercerita tentang tanah lot lidi? Tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan tanah lot lidi?

Tanah lot lidi merujuk kepada tanah yang dimiliki secara bersama tanpa pecahan lot individu yang didaftarkan di Pejabat Tanah. Ini bermakna hak milik tanah tersebut masih dalam bentuk kumpulan atau blok, dan belum dipecahkan kepada lot-lot yang boleh dimiliki secara individu.

 

Saya ada cerita tentang tanah lot lidi, nak tahu tak?

Jom kita semak apa risiko yang akan dialami oleh Adam sekiranya Adam membeli tanah lot lidi ini.

1. Status Pemilikan yang Tidak Jelas

Dalam sistem pemilikan tanah di Malaysia, geran tanah ialah dokumen rasmi yang menunjukkan hak milik seseorang terhadap tanah tertentu. Jika tanah yang dibeli adalah lot lidi dan tidak mempunyai geran yang sah, kerana perkara ini telah digariskan dalam Seksyen 78(3) & Seksyen 340 Kanun Tanah Negara. Tanah yang tidak didaftarkan secara rasmi tidak mempunyai pengiktirafan undang-undang. Ini bermakna, walaupun Adam telah membayar dan menerima tanah, hak miliknya tidak diiktiraf secara sah.

2. Risiko Tuntutan oleh Pemilik Asal

Pemilik asal yang namanya tertera dalam geran tanah berhak untuk menuntut semula tanah tersebut. Jika pemilik asal memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang, pembeli tidak mempunyai hak untuk mempertahankan pemilikan tanah tersebut. Sekiranya berlaku pertikaian, Adam mungkin terpaksa melalui proses mahkamah yang panjang dan mahal untuk membuktikan hak miliknya, yang mungkin tidak berhasil tanpa dokumen pemilikan yang sah.

3. Ketiadaan Perlindungan Undang-Undang

Sekiranya tiada dokumen pemilikan yang sah, Adam tidak mempunyai perlindungan undang-undang yang kuat. Ini bermakna Adam tidak dapat mengemukakan tuntutan di mahkamah untuk mempertahankan hak miliknya. Sekiranya tanah dirampas atau diambil semula oleh pemilik asal, Adam akan kehilangan semua pelaburan yang telah dibuat, termasuk kos pembelian, pembangunan, dan lain-lain.

4. Risiko Pembangunan dan Pembinaan

Jika Adam membina struktur di atas tanah lot lidi tanpa dokumen hak milik yang sah, Adam berisiko menghadapi tindakan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa tempatan kerana telah melanggar Akta Perancangan Bandar & Desa 1976 dan Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974. Ini boleh mengakibatkan pembongkaran struktur dan kerugian kewangan. dTanah yang tidak sah juga mungkin tidak mematuhi peraturan perancangan bandar, menyebabkan risiko tambahan kepada Adam.

5. Kesukaran untuk Menjual Tanah

Tanah tanpa hak milik yang sah biasanya mempunyai nilai pasaran yang rendah. Adam akan menghadapi kesukaran untuk menjual tanah tersebut pada masa hadapan. Pembeli lain mungkin enggan membeli tanah lot lidi kerana risiko yang sama, menjadikan transaksi lebih sukar.

6. Tiada kelayakan kepada Pewarisan

Apabila pemilik tanah meninggal dunia, tanah dan segala di atas tanah boleh dibuat urusan pusaka di bawah peruntukan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Namun begitu, pembeli-pembeli lot lidi berisiko kerana Pemilik tanah sahaja yang boleh menuntut atas tanah tersebut. Waris-waris pembeli lot lidi tidak diiktiraf di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 kerana nama mereka tidak didaftarkan dalam suratan hakmilik.

Kisah Adam menggambarkan realiti yang dihadapi oleh ramai individu yang bercita-cita untuk memiliki tanah. Jadi penting untuk anda memahami risiko dan undang-undang yang berkaitan dengan pembelian tanah, terutamanya tanah lot lidi. Sebagai pembeli yang bijak, melakukan penyelidikan dan mendapatkan nasihat daripada pakar adalah langkah penting dalam memastikan pelaburan tanah yang selamat dan terjamin. Dengan pengetahuan yang tepat dan kesedaran tentang risiko, kita dapat melindungi diri kita daripada masalah di masa hadapan dan memastikan bahawa impian memiliki tanah tidak berakhir dengan kekecewaan.

Leave A Comment