Membeli rumah daripada pemaju, terutama sekali dalam projek perumahan seperti kondominium atau apartmen, melibatkan pembelian unit rumah di bawah hakmilik strata. Bagi pemilik baru, istilah hakmilik strata mungkin kedengaran asing, tetapi ini adalah elemen penting dalam memastikan hak milik anda terhadap unit rumah tersebut adalah sah di sisi undang-undang. Salah satu langkah penting dalam proses ini adalah penyempurnaan pindah milik. Artikel ini akan menerangkan mengenai hakmilik strata, kepentingannya, dan bagaimana proses penyempurnaan pindah milik dijalankan.
Apa itu Hakmilik Strata?
Hakmilik strata merujuk kepada hak milik individu terhadap satu unit dalam pembangunan berstrata, seperti kondominium, apartment, atau bangunan pejabat. Selain memiliki unit rumah sendiri, anda juga berkongsi pemilikan ke atas kawasan-kawasan tersebut secara bersama seperti kemudahan lif, kolam renang, dan taman rekreasi.
Dalam kes ini, geran tanah asal biasanya dipegang oleh pemaju sehingga hakmilik strata dikeluarkan. Hakmilik strata memastikan setiap unit rumah dalam pembangunan tersebut mempunyai geran individu yang boleh didaftarkan atas nama pemilik unit rumah tersebut.
Bila Proses Penyempurnaan Pindah Milik Boleh Dilakukan?
Proses penyempurnaan pindah milik hakmilik strata hanya boleh dimulakan setelah pemaju memaklumkan bahawa hakmilik strata telah dikeluarkan. Biasanya, pemaju akan memberikan notis kepada pemilik unit rumah, yang menandakan masa untuk bertindak telah tiba. Setelah menerima notis ini, pemilik perlu segera mengambil langkah seterusnya untuk memastikan hak milik unit rumah tersebut didaftarkan atas nama mereka.
Kenapa Penyempurnaan Pindah Milik Penting?
Penyempurnaan pindah milik penting kerana ini adalah langkah terakhir untuk mengesahkan hak milik anda terhadap unit rumah yang dibeli. Sebelum proses ini selesai, walaupun anda telah membuat pembayaran penuh, hak milik rasmi masih belum berpindah kepada anda. Dalam rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pemaju masih dianggap sebagai pemilik berdaftar dan anda hanyalah dianggap sebagai pemilik berkepentingan. Jadi sekiranya anda ingin mendapatkan unit rumah tersebut dan menjadi pemilik berdaftar maka anda perlu bertindak segera.
Proses Penyempurnaan Pindah Milik Hakmilik Strata
Proses menukar nama ini biasanya mengambil masa antara 3 hingga 6 bulan, bergantung kepada syarat di atas tanah, kelancaran penyediaan dokumen dan kerja-kerja pentadbiran di PTG. Oleh itu, penting untuk memastikan semua dokumen disediakan dengan tepat dan dihantar mengikut jadual. Berikut adalah langkah-langkah umum dalam proses penyempurnaan pindah milik hakmilik strata:
1. Terima Notis dari Pemaju: Pemaju akan memaklumkan kepada anda bahawa hakmilik strata telah dikeluarkan. Pada ketika ini, anda boleh memulakan proses pindah milik dengan memastikan bahawa anda mempunyai salinan Perjanjian Jual Beli dan salinan kad pengenalan supaya proses tukar nama tidak tergendala.
2. Penyediaan dan Pendaftaran Borang 14A: Borang 14A, borang rasmi untuk pindah milik, akan disediakan dan didaftarkan di Pejabat Tanah. Proses ini penting untuk mendaftarkan hak milik unit rumah tersebut atas nama anda.
3. Pembayaran Duti Setem: Seperti dalam proses hak milik biasa, duti setem perlu dibayar berdasarkan nilai unit yang dibeli. Ini adalah bayaran kepada kerajaan untuk mengesahkan transaksi tersebut.
4. Pendaftaran Hakmilik Strata: Setelah semua dokumen lengkap dan bayaran duti setem dibuat, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan mendaftarkan hakmilik strata atas nama anda. Pada ketika ini, anda diiktiraf secara rasmi sebagai pemilik berdaftar unit rumah tersebut secara sah dan mengikut undang-undang.
Walaupun proses ini kelihatan mudah, namun masih memerlukan ketelitian dalam penyediaan dokumen dan pendaftaran di Pejabat Tanah. Kesilapan kecil boleh membawa kepada kelewatan atau masalah dalam mendapatkan hakmilik rasmi. Di sini, sedikit panduan profesional seperti khidmat peguam boleh memastikan bahawa setiap langkah diurus dengan betul dan tiada kesilapan yang berlaku yang boleh menjejaskan hak milik anda.
Menukar nama atau penyempurnaan pada hakmilik strata adalah langkah penting untuk memastikan hak milik anda diiktiraf secara sah. Proses ini mungkin rumit, tetapi dengan perhatian dan langkah yang tepat dapat diselesaikan dengan lancar. Jangan mengambil mudah proses ini kerana ini adalah kunci kepada kepemilikan sah unit strata anda