Dalam dunia hartanah, pembelian rumah merupakan satu keputusan besar yang memerlukan pertimbangan teliti. Salah satu pilihan yang sering menjadi pertimbangan adalah untuk membeli rumah subsale atau membeli rumah daripada pemaju. Rumah subsale merujuk kepada rumah yang telah dimiliki dan sedia untuk dijual oleh pemilik terdahulu, manakala rumah dari pemaju biasanya merujuk kepada rumah yang masih dalam peringkat pembinaan atau baru siap dibina. Artikel ini akan mengupas kelebihan rumah subsale yang mungkin menjadi faktor penentu dalam membuat keputusan pembelian hartanah.

1. Memeriksa keadaan rumah dengan segera

Dengan membeli rumah subsale, pembeli boleh melihat rumah dalam keadaan sedia ada dan membelinya seperti yang dilihat. Sekiranya pembeli berkenan dengan halaman rumah yang luas atau reka bentuk tertentu, mereka boleh memperoleh rumah tersebut dan boleh mengubahsuai mengikut citarasa sendiri tanpa perlu menunggu pembangunan selesai.

Oleh itu, rumah subsale membolehkan pembeli memeriksa dengan serta-merta sekrianya ada sebarang kecacatan dan kerosakan, terutamanya jika rumah tersebut sudah lama terbiar. Pembeli boleh memastikan semua bahagian rumah berada dalam keadaan selamat untuk diduduki dan membuat penilaian tepat terhadap sebarang kos pembaikan yang mungkin diperlukan sebelum membuat pembelian. Bagi mereka yang ingin tahu lebih lanjut berkenaan cara tuntut kerosakan rumah dari pemilik, boleh rujuk artikel kami di link tertera:-

https://hawarihanafi.com/cara-tuntut-kerosakan-rumah-daripada-pemilik-lama/

2. Kemudahan Sedia Ada

Rumah subsale sering terletak di lokasi yang telah maju dan strategik, memastikan pembeli mendapat akses kepada pelbagai kemudahan seperti sekolah, hospital, pusat beli-belah, dan pengangkutan awam. Lokasi strategik ini menawarkan keselesaan dan kemudahan kepada pembeli yang ingin tinggal di kawasan yang lengkap dengan infrastruktur.

Pembeli juga boleh melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kemudahan asas seperti taman permainan, surau, dan pusat rekreasi. Ini menjamin kehidupan yang selesa dan menyenangkan bagi seisi keluarga.

3. Mengenali Jiran Sebelum Membuat Pembelian

Membeli rumah subsale memberikan kelebihan besar di mana pembeli dapat meninjau dan menikmati suasana rumah serta kawasan kejiranan secara langsung. Pembeli boleh memerhati keadaan sekeliling dan merasai sendiri suasana komuniti, keselesaan persekitaran, serta kemudahan yang tersedia di kawasan tersebut sebelum membuat keputusan pembelian.

Ini memberikan peluang kepada pembeli mengenali jiran-jiran sebelum membuat pembelian, memberikan gambaran tentang komuniti dan kehidupan sosial di kawasan tersebut. Pembeli boleh berbincang dengan jiran-jiran untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kawasan kejiranan dan suasana hidup di situ.

4. Kesahihan & Kestabilan Market Price

Sekiranya lokasi rumah subsale tersebut sudah pesat membangun dan tiada lagi ruang untuk pembangunan baru, pembeli boleh yakin bahawa persekitaran dan nilai hartanah akan kekal stabil tanpa gangguan pembangunan baru. Ini memberikan ketenangan fikiran bahawa persekitaran kehidupan tidak akan terganggu oleh sebarang projek pembangunan baru.

Pembeli boleh melihat unit, pemandangan, kualiti kerja, dan jiran, memastikan tiada elemen tersembunyi atau tidak diketahui. Selain itu, harga sebenar seperti harga sewa dan transaksi akan tersedia, memberikan maklumat yang lebih tepat dan jelas.

5. Transaksi Lebih Cepat

Hartanah yang telah siap membolehkan pembeli menjadi tuan tanah tanpa risiko kelewatan pembinaan atau projek terbengkalai oleh pemaju. Ini memberikan kepastian bahawa penggunaan hartanah dapat dinikmati tanpa sebarang penangguhan.

Selain itu, proses pemindahan ke rumah subsale biasanya hanya memerlukan sekitar dua bulan setelah segala dokumen telah sah dan disiapkan, bergantung kepada kepada jenis hakmilik samada mempunyai sekatan atau tidak dan juga sekiranya terdapat apa-apa bebanan terhadap hartanah tersebut.

Kesemua kelebihan ini menjadikan rumah subsale sebagai pilihan yang bijak bagi pembeli yang mencari kepastian, kestabilan, dan kemudahan dalam pelaburan hartanah mereka. Pembeli boleh menikmati suasana rumah dan kejiranan, memastikan kemudahan yang diperlukan, dan memeriksa keadaan sebenar rumah sebelum membuat keputusan. Selain itu, rumah subsale terletak di lokasi strategik dan maju, memberikan akses kepada infrastruktur lengkap, memastikan pelaburan dalam rumah subsale adalah stabil dan menguntungkan.

 

Leave A Comment